Sultan Johor | Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, Sultan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor Darul Takzim, diputerakan pada 22 November 1958 Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim dididik dan diasuh untuk menjadi seorang Raja yang cerdik, berpengetahuan, berwibawa dan berdaulat.
Tuanku mengikuti jejak langkah kesultanan sebelum baginda dengan melibat diri dalam aktiviti ketenteraan, pengurusan dan pentadbiran yang dijadikan asas untuk membina semangat juang, disiplin, kepimpinan dan perwatakan. Kepimpinan Tuanku terserlah apabila setelah tamat persekolahan Tuanku dilantik sebagai platun komander ketika menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat di Kota Tinggi.
Tunku Mahkota Tunku Ibrahim dimasyurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar.
Tuanku mendirikan rumah tangga dengan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah dan dikurniakan lima orang putera dan puteri, iaitu:
DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
YAM Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Ibrahim
YAM Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor
YAM Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibrahim Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor
YAM Tunku Abdul Rahman Hassanal Jeffri Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor
YAM Tunku Abu Bakar Mahmood Iskandar Ibrahim Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor
DYMM Tuanku Sultan Ibrahim mempunyai banyak keistimewaan dan pencapaian yang membanggakan, selain keperibadian yang menawan hati rakyat. Sultan yang berjiwa rakyat ini cukup sinonim dengan Program Kembara Mahkota Johor, aktiviti yang berteraskan kerja sosial yang diilhamkan oleh DYMM Tuanku Sultan Ibrahim sejak 2001 ketika Tuanku menjadi ‘Tunku Mahkota Johor’.
Program Kembara Mahkota Johor dengan konvoi motosikal berkuasa tinggi dijadikan acara tahunan yang disertai YAB Menteri Besar dan pegawai-pegawai Kerajaan Negeri, bagi melaksanakan pelbagai projek kebajikan sepanjang laluan konvoi disemua 10 daerah di negeri Johor. DYMM Tuanku Sultan Ibrahim juga turut membabitkan ahli keluarganya, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah dan putera puteri Tuanku menyertai program mesra rakyat ini.
Sumber : Portal Rasmi Negeri Johor
0 Comments