0 KM Johor Bahru | Di kebanyakan negara, kilometer sifar (juga ditulis km 0) merujuk kepada satu lokasi khusus (biasanya terletak di ibu negara), dari mana jarak diukur secara tradisional. Istilah sama digunakan bagi sesebuah laluan jalan raya (iaitu, semua lokasi di jalan tersebut mempunyai nombor jarak, bergantung kepada jaraknya dari lokasi kilometer sifar), serta bagi sesebuah bandar (biasanya diukur dari pejabat pos utama bandar tersebut).
Johor Bahru menjadi titik pemula bagi Km0 Jalan Persekutuan. Kenapa bukan Kuala Lumpur?
Jawapannya mudah sahaja - kesemua laluan tulang belakang utama bagi rangkaian jalan raya Malaysia (Jalan Persekutuan 1, 3 dan 5) dikira dari Johor Bahru, meskipun titik permulaan bagi setiap laluan tersebut mungkin berbeza. Jalan Persekutuan 1 bermula dari tapak asal Kompleks Imigresen Tanjung Puteri yang sudah dirobohkan. Jalan Persekutuan 3 pula bermula dari Persimpangan Johor Bahru di KM1 Jalan Tun Abdul Razak FT1. Jalan Persekutuan 5 pula bermula di persimpangan bertingkat pangkalnya di KM19 Lebuhraya Skudai FT1.
Sementara itu, Kuala Lumpur terletak lebih kurang 380 km dari permulaan Jalan Persekutuan 1 dan 40 km dari permulaan Jalan Persekutuan 2. Oleh kerana Kuala Lumpur terletak jauh dari titik permulaan laluan tulang belakang utama, maka ia tidak sesuai dijadikan Kilometer Sifar Kebangsaan.
Dari segi sejarah pula, semua jalan raya utama di Semenanjung Malaysia bertemu di Johor Bahru sebelum ia dihubungkan ke Singapura melalui Tambak Johor apabila ia dibuka kepada lalu lintas pada tahun 1924. Dengan itu, Johor Bahru telah menjadi Kilometer Sifar Kebangsaan sejak lebih kurang 92 tahun dahulu.
Namun, apa yang mendukacitakan ialah kurangnya usaha untuk memartabatkan Kilometer Sifar Johor Bahru ini sebagai Kilometer Sifar Kebangsaan. Hanya sekeping papan tanda bersama-sama batu penunjuk jarak Kilometer Sifar Johor Bahru didirikan, menyebabkan rata-rata mesyarakat tidak mengetahui akan kewujudan Kilometer Sifar Kebangsaan ini.
Usaha yang perlu dilakukan bagi memartabatkan Kilometer Sifar Kebangsaan ini ialah dengan mendirikan satu monumen peringatan oleh Kementerian Kerja Raya dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Arkib Negara dan Kementerian Pelancongan, serta dengan pengisytiharan oleh Menteri Kerja Raya dan Perdana Menteri sendiri.
Kilometer Sifar Kebangsaan di Johor Bahru wajar dimartabatkan sebagai Warisan Kebangsaan, berikutan peranannya sebagai titik pangkal sistem jalan raya negara sejak 88 tahun dahulu.
Sumber : JKR Johor Bahru
0 Comments